Bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang itu untuk memohon maaf atas segala kesilapan yang telah dilakukan kerana setiap seorang dari kita mempunyai ego yang tersendiri. Pernah satu ketika ada seorang kawan memberitahu saya yang dia tidak kisah jika kata-katanya menyinggung perasaan orang lain kerana menurutnya setiap hari raya dia akan memohon maaf dari orang tersebut. Tetapi apakah yang akan terjadi jika ditakdirkan umurnya tidak panjang atau orang yang tersinggung itu hilang entah ke mana. Memohon maaf dan memberi maaf sebenarnya memberi impak yang besar dalam kehidupan bermasyarakat yang kita amalkan jika ianya dihayati sepenuhnya.
Bagi saya maaf itu amat mahal harganya dan ianya perlu dijaga dan dinikmati ibarat sebutir permata. Jika maaf itu kerap dilafazkan terhadap orang yang sama atas kesalahan yang sama maka ianya tidak melambangkan nilai maaf itu sendiri. Ada segolongan orang yang sering membuat kesalahan yang sama kemudian apabila ada kepentingan tertentu yang memberi pulangan kepadanya dengan segera dia memohon maaf atas kesalahannya tetapi tak lama kemudian dia akan mengulangi kesalahan yang sama.
Perlu diingat setiap apa yang kita lakukan kerana Allah swt adalah satu ibadah dan setiap kebaikan yang dilakukan akan mendapat ganjaran sepuluh kebajikan. Kebajikan ini adalah getaran tenaga murni yang membantu kita dalam banyak hal untuk mengharungi kehidupan di dunia ini. Semakin banyak kebaikan yang kita lakukan kerana Allah swt maka makin banyak kebajikan yang kita perolehi. Kebajikan yang terkumpul ini akan menjadi ubat terhadap pelbagai masalah yang kita hadapi.
Memang benar agak payah untuk memaafkan seseorang yang melakukan sesuatu yang menyakitkan kita. Tetapi ianya perlu dilatih dan dijadikan habit untuk memaafkan seseorang. Perlu juga diingat tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Namun apabila kita melakukan sesuatu itu kerana Allah swt, insya Allah kita akan berjaya. Oleh itu berilah kemaafan kerana Allah swt.
Setiap apa yang kita lakukan tertakluk kepada hukum karma, janganlah difikir bagaimana untuk menyedarkan seseorang hanya untuk meluahkan kemarahan yang terpendam, ianya tidak akan berjaya. Sesungguhnya balasan dan pengajaran dari Allah swt amat setimpal kerana Allah itu Maha Adil. Belajarlah memberi kemaafan sebelum diminta serta berilah kemaafan yang mahal harganya yakni kemaafan dengan hati yang ikhlas dan mengharapkan rahmat Allah semata. Insya Allah kemaafan yang anda beri itu akan menjadi ubat kepada kekeruhan yang ada dan berterima kasihlah kepada Allah swt atas setiap apa yang anda perolehi kerana tanpa izinnya tiada satupun akan terjadi.
0 soksek soksek:
Post a Comment
tiada kata secantik bahasa